• Tangani masalah emosi CR MOHD NOOR IDRIS
 1 / 1 
TIDAK semua orang mampu menangani masalah emosi dan hanya profesional yang mempunyai kepakaran seperti kaunselor boleh membantu meringankan tekanan golongan tersebut.

Melihat akan kepentingan itu, lahir sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Persatuan Kaunselor Profesional Berdaftar Malaysia (Pakar Malaysia) ingin mencurah bakti terutama membabitkan rawatan emosi .

"Mereka yang mengalami masalah emosi, tekanan dan masalah peribadi seperti cinta, keluarga dan kerjaya mengelak daripada bertemu dengan psikiatris.

"Ini kerana risau digelar pesakit mental walaupun tidak semua berjumpa psikiatri itu pesakit mental,"kata Presiden Pakar Malaysia, CR Mohd Noor Idris.

Dalam mencari penyelesaian masalah itu, Pakar Malaysia kini mencari alternatif membangunkan Klinik Kaunseling 1Malaysia (KK1M). KK1M akan menjadi titik kepada pelebaran khidmat kaunseling kepada masyarakat.

Apa yang kita sedar sekarang ini bermacam tingkah laku maladaptif (gangguan penyesuaian) dan kecelaruan emosi dialami sekumpulan besar masyarakat kita.

Kes bunuh diri, bunuh anak atau ibu bapa sendiri, kemurungan atau stres melampau adalah kesan daripada kurang daya tahan diri sama ada daya tahan emosi, rohani atau sosial.


Tubuhkan KK1M

Mohd Noor berkata, KK1M yang sedang dibangunkan Pakar Malaysia di Tanjong Malim, Perak itu dijadikan asas dengan harapan akan tertubuhnya KK1M di seluruh parlimen di Malaysia dan sekurang kurangnya setiap parlimen diwujudkan sebuah KK1M, menjelang 2025.

"Kewujudan KK1M akan menjadi dorongan kepada masyarakat untuk lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi permasalahan peribadi, dan kebuntuan mencari jalan penyelesaian akan dapat dibantu dan diatasi oleh kaunselor Pakar Malaysia di KK1M," katanya.

Beliau menambah, selain itu, Pakar Malaysia juga dalam fokus berjuang untuk memohon pihak kerajaan memberi pengiktirafan kepada sijil cuti sakit (MC) yang akan dikeluarkan oleh kaunselor Pakar Malaysia kepada klien yang layak berdasarkan penilaian dan ujian psikologi yang telah dijalankan oleh kaunselor berdaftar.

"Perjuangan ini diharapkan menjadi kenyataan kerana setiap kaunselor berdaftar telah diiktiraf kepakarannya melalui sijil perakuan amalan yang sah sebagai kaunselor profesional oleh pihak kerajaan.

"Ini kerana tidak semestinya hanya mereka yang mengalami gangguan mental dan tingkah laku abnormal sahaja memerlukan cuti rehat yang dikeluarkan oleh doktor psikiatri.

"Klien kaunseling juga memerlukan cuti rehat dan kita perlu ingat majoriti masyarakat mempunyai masalah peribadi, masalah emosi dan masalah kekeluargaan yang kronik tidak mampu memberi tumpuan kepada pelajaran mahupun kerja," katanya.


Bekerjasama dengan LKM

Mengimbau detik penubuhan, beliau berkata, Pakar Malaysia dicetuskan atas kesedaran untuk memastikan adanya pertubuhan khusus yang berperanan membantu Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) untuk menggerakkan kaunselor terlatih berdaftar sebagai kaunselor berdaftar.

Tambahnya, Pakar Malaysia juga berharap akan menjadi satu persatuan profesional yang tunggal dan menjadi rujukan dan penaung utama kepada setiap kaunselor profesional berdaftar di Malaysia. Ini kerana masih belum ada pertubuhan profesional khusus untuk kaunselor profesional yang berdaftar dan mempunyai perakuan amalan yang sah oleh kerajaan.

Dari segi keanggotaan, Pakar Malaysia terdiri daripada empat kategori terdiri daripada ahli biasa (warganegara, dan kaunselor berdaftar dengan perakuan sah), ahli bersekutu terbuka kepada kaunselor berdaftar bukan warganegara Malaysia dengan akuan amalan sah dari LKM dan tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan.

Ketiganya adalah ahli kehormat pula terdiri daripada mereka yang terbukti berjasa kepada masyarakat dan boleh memberi sumbangan kepada kejayaan persatuan. Akhir sekali, ahli seumur hidup, terbuka kepada ahli biasa yang membayar yuran. Yuran keahlian sebanyak RM100 manakala yuran tahunan RM50 dan yuran keahlian seumur hidup RM300.


Tarik lebih ramai keahlian

Pakar Malaysia mempunyai lima matlamat utama iaitu menjaga kebajikan dan kepentingan ahli sebagai persatuan profesional tunggal yang menaungi profesional kaunselor, menyediakan perkhidmatan kaunseling, bimbingan, nasihat dan konsultasi secara profesional kepada masyarakat.

"Kami melaksanakan program bagi tujuan memartabatkan profesion kaunselor profesional berdaftar dan memiliki perakuan amalan yang sah.

"Kami juga menyokong dasar semasa kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara.

"Usaha seterusnya adalah untuk mengantarabangsakan perkhidmatan kaunseling, bimbingan, nasihat dan konsultasi secara profesional melalui kerjasama dengan pertubuhan kaunseling antarabangsa," kata Mohd Noor.

Fokus utama persatuan juga untuk meneruskan kempen menarik lebih ramai kaunselor terlatih dari universiti tempatan dan antarabangsa berdaftar dengan LKM dan mempunyai akuan amalan yang sah sebagai seorang kaunselor.

Malah, persatuan juga bergerak berkempen kepada semua guru kaunseling di semua sekolah, pegawai psikologi dan kaunseling di jabatan kerajaan dan pengamal kaunseling untuk berdaftar dengan Lembaga Kaunselor bagi memastikan kebajikan dan hak klien dan kaunselor  terjamin.

Pakar Malaysia juga bergiat aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui Street Counselling.

Melalui aktiviti ini Pakar Malaysia menjelajah 30 sekolah untuk menjalankan sesi bimbingan dan motivasi percuma kepada masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pada tahun ini program tersebut masih diteruskan dan mendapat respons yang amat positif dengan 47 sekolah telah mendaftar.

Pakar Malaysia mengalu-alukan individu dan pihak korporat yang ingin memberi sumbangan.