snow

Kata-kata Hikmah

6/02/2014

Senario Jangkitan Tibi di Malaysia


oleh Bintu Rasyada A. Rahman

Pelbagai cara telah dilakukan. Langkah pencegahan juga telah dilaksanakan. Namun, penularan penyakit tibi (tuberculosis) tetap tidak ada surutnya. Malah angkanya terus meningkat dari tahun ke tahun.

Statistik WHO

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini terdapat lebih kurang 20 juta kes tibi aktif di seluruh dunia. Penyakit ini dikatakan menjangkiti antara 50 hingga 100 juta penghuni dunia terutama kanak-kanak secara tahunan.

3 juta kematian berlaku setiap tahun disebabkan penyakit jangkitan tibi dan 80% daripadanya melibatkan negara-negara membangun. WHO juga menyatakan hampir 26% kematian di negara dunia ketiga boleh dielakkan sekiranya pesakit tibi mendapatkan rawatan sewajarnya.

Apakah punca utama penyakit yang sudah wujud sejak zaman kuno ini terus bertahan? Bagaimana pula peranan kita dalam usaha untuk memastikan penyakit ini tidak lagi menjadi antara pembunuh utama penyakit berjangkit ini?


Senario Jangkitan Tibi di Malaysia

Di negara ini, angka mereka yang dijangkiti penyakit ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Sejak 1989 secara purata sebanyak 11,500 hingga 12,000 kes dikesan setiap tahun. Separuh daripada kes ini didapati positif dijangkiti tibi. Pada 2006, seramai 14,000 pesakit tibi telah dapat dikesan yang mana nisbah jangkitan adalah 61 untuk setiap 100,000 penduduk.

Tahun berikutnya, sebanyak 16,000 kes baru dicatatkan dan pada 2008 pula sebanyak 17,506 kes baru didaftarkan. Daripada angka ini, 10,441 disahkan dijangkiti kuman tibi dengan 2207 kes melibatkan pendatang asing.

Angka jangkitan terus meningkat tahun lalu dengan 17,496 kes baru direkodkan.

Bagaimanapun, kes tibi di Malaysia masih rendah berbanding Filipina, Thailand dan Indonesia, namun lebih tinggi dari negara Singapura.


Tibi dan Pendatang Asing

Kemasukan pekerja dari negara-negara dunia ketiga sememangnya menjadi punca utama jangkitan tibi masih berleluasa biar pun tahap kebersihan dan kesihatan di negara ini boleh dikatakan berada pada paras sederhana.

Sememangnya sangat sinonim dengan negara mundur dan kemasukan pekerja dari negara-negara ini turut membawa sekali penyakit tersebut. Penyebaran kuman di kalangan pendatang berlaku dengan mudah disebabkan keadaan persekitaran yang memudahkan penyakit merebak dan menular.

Boleh dikatakan dengan keadaan tempat tinggal yang sempit dan kurang ventilasi menjadi salah satu sebab penting kepada jangkitan ini menular dengan mudah.

Negara maju seperti Amerika Syarikat juga turut berdepan dengan masalah ini disebabkan kemasukan pendatang asing dari negara membangun seperti Mexico.


Rawatan

Bakteria tibi mempunyai dinding sel yang tebal dan amat sukar untuk dibunuh menggunakan antibiotik. Kuman ini juga boleh hidup di dalam sel-sel darah dan di dalam tisu anggota badan lain.

Oleh itu, rawatan tibi perlu terus diberikan selama 6 bulan supaya semua kuman di dalam dan di luar sel dapat dibunuh sepenuhnya.

Cara rawatan adalah dengan memberikan antibiotik kepada pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan kuman tibi menjadi kebal kepada ubat (multidrug resistance tibi). Ubat yang biasa diberi adalah isoniazid,rifampicinpyrazinamidestreptomycin dan ethambutol. Pesakit perlu mengambil ubat-ubat ini setiap hari bagi 2 bulan pertama, sehinggalah pemeriksaan doktor dijalankan.

Sekiranya pemeriksaan doktor menunjukkan kemajuan dari segi simptom, imej imbasan sinar-X dan pemeriksaan kahak, cara pengambilan ubat akan diubah kepada 2 kali seminggu untuk 4 bulan seterusnya. Imbasan sinar-X dan ujian kahak perlulah dijalankan setiap 2 bulan sepanjang tempoh rawatan, sehinggalah pesakit didapati sembuh sepenuhnya (selalunya hanya dalam tempoh 6 bulan).

Seperti antibiotik lain, ubat-ubat untuk tibi juga mempunyai kesan sampingan termasuk loya, muntah, rasa gatal badan dan letih. Adalah sangat penting pesakit memaklumkan doktor atau jururawat jika terjadi sebarang kesan sampingan yang teruk.

Kejadian kuman tibi yang kebal kini didapati meningkat di beberapa negara di rantau Asia. Kuman jenis ini amat sukar dihapuskan dan kadar kematian pesakit akibat jangkitan kuman tibi kebal adalah setinggi 80%.


Langkah Pencegahan

Menurut kajian, pesakit yang aktif tibi akan menjangkiti 10 hingga 15 orang di sekelilingnya.

Bagi pesakit yang disahkan tibi mereka perlu :

* Mematuhi arahan pengambilan ubat yang telah ditetapkan tempohnya.

* Ambil cuti dan tidak ke tempat kerja atau sekolah bagi mengelakkan kuman tibi tersebar.

* Selepas beberapa minggu rawatan, pesakit akan rasa lebih baik dan tidak akan menjangkiti orang lain lagi. Doktor akan menasihatkan waktu yang paling sesuai untuk kembali berkerja atau ke sekolah.

* Asingkan bilik tidur, jangan berkongsi pakaian, makanan dan sebagainya. Elakkan sentuhan dengan orang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan.

* Dari segi ventilasi, pastikan sistem pengudaran rumah dan pejabat dalam keadaan baik. Halakan kipas ke arah tingkap untuk meniup angin keluar dari ruang bilik. Ini akan mengurangkan peluang bakteria tibi untuk terus berada dalam ruang dan menjangkiti orang lain.

Selain itu, kanak-kanak yang merupakan golongan mudah dijangkiti digalakkan tidak mengunjungi hospital bagi mengelakkan penyebaran kuman tibi. Bagi bayi baru lahir, suntikan BCG mampu memberi perlindungan daripada bakteria tibi.

Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan ke atas pekerja yang masuk ke negara ini terutama jika dari negara dunia ketiga.
Tibi seringkali mendapat tempat dalam medium cetak akibat kes ini mudah berjangkit di kawasan sesak dan simptomnya agak berbahaya bagi sesetengah pesakit. 

Kemampuan sebaran spora Tibi boleh diminimumkan apabila mengetahui simptom agen jangkitan dan tanda awal.

Golongan berisiko adalah berusia antara 20-40 tahun, mereka yang dijangkiti HIV dan Aids, individu berdekatan pesakit Tibi, pendatang asing, kekurangan zat dan mineral serta daya tahan penyakit, banduan, penghidap kencing manis dan mereka yang kerap berurusan di tempak sesak.

Kuman Tibi menyerang paru-paru dan jika lambat dirawat akan menyebabkan kematian.

3/02/2014

Waspada 'strok haba' berikutan cuaca panas - KP Kesihatan

Waspada 'strok haba' berikutan cuaca panas - KP Kesihatan
Posted on Sunday, March 02 @ 12:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo


Kesihatan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diminta berwaspada terhadap tanda-tanda awal 'heat stroke' atau 'strok haba' berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu Bernama, definisi strok haba adalah paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius. Suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah celsius.

"Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas. "Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam," katanya.



Dr Noor Hisham berkata suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menyatakan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Dr Noor Hisham berkata pendedahan berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas disamping kurang minum air dan dehidrasi badan antara punca boleh menyebabkan strok haba.
Oleh itu beliau menyarankan beberapa langkah segera untuk diambil sekiranya ada individu terkena strok haba iaitu menempatkan pesakit di tempat teduh dan berhawa dingin.

"Haba tinggi boleh dikurangkan jika individu itu ditempatkan di bawah kipas dan mengelap anggota badan menggunakan tuala basah.

"Pesakit juga mungkin boleh berendam di dalam kolam air untuk menurunkan tekanan haba dan menyejukkan badan," katanya.

Dr Noor Hisham turut meminta orang ramai mengelakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas serta minum air dalam kuantiti banyak atau sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari.-bernama/bh 

Tangani masalah emosi

Tangani masalah emosi

  • Tangani masalah emosi CR MOHD NOOR IDRIS
 1 / 1 
TIDAK semua orang mampu menangani masalah emosi dan hanya profesional yang mempunyai kepakaran seperti kaunselor boleh membantu meringankan tekanan golongan tersebut.

Melihat akan kepentingan itu, lahir sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Persatuan Kaunselor Profesional Berdaftar Malaysia (Pakar Malaysia) ingin mencurah bakti terutama membabitkan rawatan emosi .

"Mereka yang mengalami masalah emosi, tekanan dan masalah peribadi seperti cinta, keluarga dan kerjaya mengelak daripada bertemu dengan psikiatris.

"Ini kerana risau digelar pesakit mental walaupun tidak semua berjumpa psikiatri itu pesakit mental,"kata Presiden Pakar Malaysia, CR Mohd Noor Idris.

Dalam mencari penyelesaian masalah itu, Pakar Malaysia kini mencari alternatif membangunkan Klinik Kaunseling 1Malaysia (KK1M). KK1M akan menjadi titik kepada pelebaran khidmat kaunseling kepada masyarakat.

Apa yang kita sedar sekarang ini bermacam tingkah laku maladaptif (gangguan penyesuaian) dan kecelaruan emosi dialami sekumpulan besar masyarakat kita.

Kes bunuh diri, bunuh anak atau ibu bapa sendiri, kemurungan atau stres melampau adalah kesan daripada kurang daya tahan diri sama ada daya tahan emosi, rohani atau sosial.


Tubuhkan KK1M

Mohd Noor berkata, KK1M yang sedang dibangunkan Pakar Malaysia di Tanjong Malim, Perak itu dijadikan asas dengan harapan akan tertubuhnya KK1M di seluruh parlimen di Malaysia dan sekurang kurangnya setiap parlimen diwujudkan sebuah KK1M, menjelang 2025.

"Kewujudan KK1M akan menjadi dorongan kepada masyarakat untuk lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi permasalahan peribadi, dan kebuntuan mencari jalan penyelesaian akan dapat dibantu dan diatasi oleh kaunselor Pakar Malaysia di KK1M," katanya.

Beliau menambah, selain itu, Pakar Malaysia juga dalam fokus berjuang untuk memohon pihak kerajaan memberi pengiktirafan kepada sijil cuti sakit (MC) yang akan dikeluarkan oleh kaunselor Pakar Malaysia kepada klien yang layak berdasarkan penilaian dan ujian psikologi yang telah dijalankan oleh kaunselor berdaftar.

"Perjuangan ini diharapkan menjadi kenyataan kerana setiap kaunselor berdaftar telah diiktiraf kepakarannya melalui sijil perakuan amalan yang sah sebagai kaunselor profesional oleh pihak kerajaan.

"Ini kerana tidak semestinya hanya mereka yang mengalami gangguan mental dan tingkah laku abnormal sahaja memerlukan cuti rehat yang dikeluarkan oleh doktor psikiatri.

"Klien kaunseling juga memerlukan cuti rehat dan kita perlu ingat majoriti masyarakat mempunyai masalah peribadi, masalah emosi dan masalah kekeluargaan yang kronik tidak mampu memberi tumpuan kepada pelajaran mahupun kerja," katanya.


Bekerjasama dengan LKM

Mengimbau detik penubuhan, beliau berkata, Pakar Malaysia dicetuskan atas kesedaran untuk memastikan adanya pertubuhan khusus yang berperanan membantu Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) untuk menggerakkan kaunselor terlatih berdaftar sebagai kaunselor berdaftar.

Tambahnya, Pakar Malaysia juga berharap akan menjadi satu persatuan profesional yang tunggal dan menjadi rujukan dan penaung utama kepada setiap kaunselor profesional berdaftar di Malaysia. Ini kerana masih belum ada pertubuhan profesional khusus untuk kaunselor profesional yang berdaftar dan mempunyai perakuan amalan yang sah oleh kerajaan.

Dari segi keanggotaan, Pakar Malaysia terdiri daripada empat kategori terdiri daripada ahli biasa (warganegara, dan kaunselor berdaftar dengan perakuan sah), ahli bersekutu terbuka kepada kaunselor berdaftar bukan warganegara Malaysia dengan akuan amalan sah dari LKM dan tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan.

Ketiganya adalah ahli kehormat pula terdiri daripada mereka yang terbukti berjasa kepada masyarakat dan boleh memberi sumbangan kepada kejayaan persatuan. Akhir sekali, ahli seumur hidup, terbuka kepada ahli biasa yang membayar yuran. Yuran keahlian sebanyak RM100 manakala yuran tahunan RM50 dan yuran keahlian seumur hidup RM300.


Tarik lebih ramai keahlian

Pakar Malaysia mempunyai lima matlamat utama iaitu menjaga kebajikan dan kepentingan ahli sebagai persatuan profesional tunggal yang menaungi profesional kaunselor, menyediakan perkhidmatan kaunseling, bimbingan, nasihat dan konsultasi secara profesional kepada masyarakat.

"Kami melaksanakan program bagi tujuan memartabatkan profesion kaunselor profesional berdaftar dan memiliki perakuan amalan yang sah.

"Kami juga menyokong dasar semasa kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara.

"Usaha seterusnya adalah untuk mengantarabangsakan perkhidmatan kaunseling, bimbingan, nasihat dan konsultasi secara profesional melalui kerjasama dengan pertubuhan kaunseling antarabangsa," kata Mohd Noor.

Fokus utama persatuan juga untuk meneruskan kempen menarik lebih ramai kaunselor terlatih dari universiti tempatan dan antarabangsa berdaftar dengan LKM dan mempunyai akuan amalan yang sah sebagai seorang kaunselor.

Malah, persatuan juga bergerak berkempen kepada semua guru kaunseling di semua sekolah, pegawai psikologi dan kaunseling di jabatan kerajaan dan pengamal kaunseling untuk berdaftar dengan Lembaga Kaunselor bagi memastikan kebajikan dan hak klien dan kaunselor  terjamin.

Pakar Malaysia juga bergiat aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui Street Counselling.

Melalui aktiviti ini Pakar Malaysia menjelajah 30 sekolah untuk menjalankan sesi bimbingan dan motivasi percuma kepada masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pada tahun ini program tersebut masih diteruskan dan mendapat respons yang amat positif dengan 47 sekolah telah mendaftar.

Pakar Malaysia mengalu-alukan individu dan pihak korporat yang ingin memberi sumbangan.

Hati-hati serangan 'strok haba'

Hati-hati serangan 'strok haba'

  • strokGambar Hiasan.
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia diminta berwaspada terhadap tanda-tanda awal 'heat stroke' atau 'strok haba' berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu Bernama, definisi strok haba adalah paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius. Suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah celcius.

"Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

"Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam," katanya.

Dr Noor Hisham berkata suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menyatakan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Dr Noor Hisham berkata pendedahan berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas disamping kurang minum air dan dehidrasi badan antara punca boleh menyebabkan strok haba.

Oleh itu beliau menyarankan beberapa langkah segera untuk diambil sekiranya ada individu terkena strok haba iaitu menempatkan pesakit di tempat teduh dan berhawa dingin.

"Haba tinggi boleh dikurangkan jika individu itu ditempatkan di bawah kipas dan mengelap anggota badan menggunakan tuala basah.

"Pesakit juga mungkin boleh berendam di dalam kolam air untuk menurunkan tekanan haba dan menyejukkan badan," katanya.

Dr Noor Hisham turut meminta orang ramai mengelakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas serta minum air dalam kuantiti banyak atau sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari. - Bernama

Endometriosis boleh sebabkan kemandulan

Endometriosis boleh sebabkan kemandulan
  • Endometriosis
 1 / 1 
PENYAKIT endometriosis boleh dikategorikan sebagai unik yang mempunyai banyak teori, namun penyebab sebenarnya masih belum diketahui.

Ramai wanita mungkin tidak menyedari mereka mengalaminya kerana simptom seakan sama dengan rasa sakit ketika dalam keadaan menstruasi.

Perkataan endometriosis berasal daripada endometrium iaitu lapisan dinding atau tisu yang menyaluti permukaan kulit dalam rahim dan penyakit ini dipercayai berlaku apabila darah haid yang sepatutnya turun melalui saluran uterus ke vagina mengalami penolakan ke atas dan kemudian keluar melalui tiub falopio dan menyelaputi dinding luar rahim.

Bendalir yang menyelaputi dinding rahim itu lama kelamaan akan menjadi tebal mengakibatkan organ berhampiran rahim iaitu usus, pundi kencing akan melekat antara satu sama lain dan setakat ini kes yang pernah ditemui - tisu berkenaan boleh merebak sehingga ke paru-paru.

Keadaan ini jika berterusan akan menyebabkan tiub falopio menghasilkan belon cecair yang mengandungi darah lama yang juga dikenali sebagai ‘choclate cyst’ dan ini akan mengakibatkan kemandulan.

Senggugut serius

Ia akan menyebabkan penghasilan telur yang tidak berkualiti dan sukar untuk membentuk janin dan kadangkala tiub falopio terlekat pada dinding rahim dan menyukarkan telur dan sperma untuk bertemu.

Meskipun lagaknya seperti kanser namun ia tidak mengancam nyawa. Endometriosis ini boleh menyebabkan pesakit mengalami sengungut yang agak teruk apabila datang haid sehingga kebergantungan terhadap pil tahan sakit atau suntikan yang juga tidak digalakkan dalam tempoh masa yang lama.

Namun sekiranya ia bertambah serius, pesakit akan turut mengalami rasa senggugut teruk biarpun bukan pada masa datang haid, malah ia berlaku berterusan sehingga menyebabkan kualiti hidup terganggu di mana pesakit akan kerap mengambil cuti sakit.

Kualiti hubungan pasangan suami isteri juga boleh terjejas kerana keadaan ini akan menyebabkan sakit pada bahagian rahim ke bawah apabila melakukan hubungan seks selain turut berasa kesakitan apabila membuang air besar.

Kaedah rawat

Terdapat kaedah untuk merawat keadaan ini, mereka yang mengalami simptom-simptom perlu mendapat nasihat doktor agar masalah dikenal pasti dengan cara diagnosis berdasarkan pengalaman mereka.

Merawat masalah ini dianggap mencabar kerana kebanyakan mereka yang tampil adalah lingkungan produksi dan mahu hamil turut didapati menghidap endometriosis. Bagi mengatasi masalah ini sejenis ubat menghalang haid akan diberi kepada pesakit dalam masa sama pesakit tidak boleh hamil.

Ini kerana endometriosis berlaku jika wanita itu datang haid, jadi untuk mengatasinya wanita itu perlu berada dalam keadaan tidak haid kerana tisu berkenaan akan kering dalam tempoh masa tertentu.

Terdapat sejenis pil boleh menghalang datang haid, bagaimanapun ia hanya boleh diberi tidak melebihi tempoh enam bulan, jika tidak ia boleh menyebabkan rapuh tulang (osteoporosis) atau simptom menopaus, bagaimanapun sekarang terdapat kaedah baharu boleh bertahan sehingga tiga tahun dan waktu itu wanita tidak akan mengalami haid.

Ini merupakan cabaran kepada doktor pakar sakit puan untuk menentukan kaedah paling sesuai, tetapi sekiranya pesakit berumur 45 tahun ke atas dan tidak lagi menginginkan zuriat, maka disarankan mereka menjalani pembedahan buang rahim.

Endometriosis sukar dikesan, namun dengan kaedah laparoskopi ia boleh ditentukan, di mana prosedur ini memerlukan pembedahan kecil melalui pusat untuk memasukkan kamera bagi melihat keadaan sekitar rahim.

Sekiranya didapati pesakit mempunyai endometriosis, pembedahan kecil dilakukan guna kaedah canggih dengan cara ‘membakar’ tisu endometriosis yang berada di luar rahim.

Setakat ini, tiada ubat yang khusus untuk memulihkan masalah ini dan wanita dinasihatkan menjalani kehidupan seimbang dengan mengamalkan pemakanan diet seimbang, kerap bersenam, banyakkan makan sayuran yang mengandungi antioksidan serta tangani stres dengan baik juga dapat membantu.


Bersama pakar, DR Rama Krishna, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan